RSS

Mengapa Melayu? Islam itu kan universal…

15 Jan

(sumber: http://hisham79.blogspot.com)

Mengapa Melayu? Islam itu kan universal…

“Mujur aku kenal Islam terlebih dahulu sebelum aku kenal Melayu, kalau tidak mesti aku tidak akan tertarik dengan Islam.”

Saya percaya, ramai dari kita pernah mendengar ungkapan sebegitu. Ungkapan yang menunjukkan bahawa bangsa Melayu yang cukup sinonim dengan agama Islam di Malaysia sedang berhadapan dengan krisis identiti yang cukup parah.

Tanpa perlu melihat kepada statistik masalah sosial remaja, lihat sahaja di mana-mana dan kita akan dapati, bahawa juara kepada masalah sosial di mana-mana adalah dari bangsa melayu.

Namakan apa sahaja masalah, buang bayi, merempit, curi motosikal, lepak, ponteng sekolah, dadah, merokok di sekolah, bergaduh, pergaulan bebas, kemiskinan, rasuah, pelacuran dan macam-macam lagi, maka kita akan dapati bahawa belia dari kalangan bangsa Melayu adalah juaranya.

Pergilah ke KLCC, Taman Tasik Titiwangsa, Mid Valley atau Jalan TAR, dan lihat juga di panggung wayang, di konsert-konsert dan pesta, lihatlah siapa penghuninya dan siapa yang paling banyak terlibat dalam masalah ‘couple’ dan pergaulan bebas.

Pergi juga ke sekolah-sekolah , universiti-universiti tempatan dan tanyakan pada guru-guru dan pensyarah-pensyarah tentang siapa yang bermasalah dalam akademik dan syakhsiah.

Itu belum dikira bilangan yang solat 5 waktu sepenuhnya, yang menutup aurat dengan sempurna, yang iltizam dengan akhlak dan adab-adab Islam seperti solat berjemaah dan tilawah Al Quran harian.

Kalau tidak percaya, buatlah satu tinjauan rambang di mana-mana sekolah atau IPTA di Malaysia, dan tanyakan pada pelajar-pelajar Melayu Muslim, berapa ramai yang solat fardhu 5 waktu sehari semalam. Jangan terkejut dengan hasilnya.

Belum lagi kita membincangkan tentang masalah ekonomi orang melayu yang jauh ketinggalan dalam setiap aspek.

Lebih menakutkan jika kita melihat kepada bilangan yang murtad di Malaysia.

Jika kita lihat dengan mata, kita renung dengan perasaan dan kita faham betul-betul realiti ini maka kita akan dapati bahawa bangsa ini tidak lagi menjadi contoh yang terbaik kepada bangsa-bangsa lain. Usahkan hendak menjadi contoh, bahkan sekarang ini mula kedengaran ungkapan-ungkapan dari mereka yang berbangsa melayu sendiri yang malu dilahirkan sebagai bangsa ini.

Menyedari akan kelemahan inilah, maka ISMA mengambil pendirian untuk memfokuskan dakwah kepada bangsa melayu buat masa ini, agar bangsa ini kembali menjadi kuat dan mulia untuk dicontohi oleh bangsa-bangsa lain yang bukan Muslim di Malaysia.

Bukan hendak mengabaikan dakwah kepada bangsa-bangsa lain, tetapi atas kapasiti yang masih terhad dan realiti semasa yang begitu mendesak.

Ramai yang mempertikaikan dan menyatakan bahawa ISMA menonjolkan satu fikrah yang bersifat dan berbau perkauman, tapi mengapa sebelum ini tidak ada yang mempertikaikan pertubuhan Islam bagi orang Cina di Malaysia seperti MACMA, Kongress India Muslim Malaysia atau kewujudan masjid India di Kuala Lumpur itu sendiri?

Bahkan di Kelantan, ada satu masjid yang baru di bina di Rantau Panjang yang menggunakan seni bina ‘Cina’ yang cukup menarik. Ketika saya masuk ke masjid ini, tidak pula saya dan rakan-rakan yang lain merasa bahang dan bau perkauman, bahkan saya merasa cukup hormat dan gembira atas keterbukaan kerajaan PAS Kelantan dalam meraikan sifat-sifat unik bangsa Cina.

Fikrah dakwah kepada bangsa Melayu yang dibawa oleh ISMA bukan hendak menghidupkan kembali budaya-budaya jahiliah dalam bangsa Melayu yang bertentangan dengan Islam, akan tetapi hendak memahamkan mereka bahawa suatu masa dahulu, bangsa ini adalah bangsa yang mulia dengan Islam dan juga bangsa ini adalah bangsa tonggak yang menjadi contoh dalam pengamalan Islam kepada bangsa-bangsa lain yang wujud bersama.Bila bangsa lain bercakap tentang bangsa mereka, buat beribu-ribu persatuan, merencana pelbagai agenda, tidak mengapa pula, tetapi mengapa bila bangsa melayu bercakap tentang menyelamatkan bangsa sendiri dari jurang kehinaan dan menyatukan mereka atas dasar Islam, pelbagai cop pula yang diberi. Mengapa begitu?

Fikrah ini juga bukan hendak mengajak bangsa Melayu berbangga dengan budaya-budaya seperti Zapin, Inang, Mak Yong, Caklempong, Gasing, Wau, Laga Ayam dan sebagainya, akan tetapi untuk mengajak bangsa ini agar kembali menjadi bangsa hebat yang mampu untuk menjadi duta kepada Islam di seluruh Malaysia.

Fikrah Melayu sepakat juga bukan hendak mengajak untuk menyokong parti-parti tertentu, tetapi untuk mengajak bangsa Melayu yang terpecah dalam kelompok politik UMNO, PAS dan PKR untuk meletakkan isu-isu dan kepentingan umat Islam di tempat yang teratas dalam jua pertimbangan politik.

Tidak bolehkah kita saling hormat akan perbezaan pandangan dan cara fikir, meraikan perbezaan pendapat asal ianya masih dalam batas syara’ dan bersatu atas perkara-perkara yang kita sepakati bersama.

Tidak ada masalah bagi mereka yang tidak setuju dengan tulisan ini dan menyatakan bahawa fikrah melayu muslim ini adalah selamanya tidak relevan kerana Islam adalah agama universal dan dakwah kepada bangsa sendiri adalah seruan jahiliah.

Tidak ada masalah juga bagi mereka yang mengatakan dalam masa sekarang adalah lebih utama berdakwah kepada bangsa Cina, India dan bangsa-bangsa lain, mengetuk setiap pintu rumah mereka dengan iman dan menerangkan kepada mereka kemuliaan Islam dengan hujah dan dialog yang bernas.

Cuma, jangan sekadar berkata, memberi komen dan mengkritik kerja orang lain dalam FB, blog dan forum sahaja, tapi laksanakanlah agenda tersebut secara individu atau dalam pertubuhan masing-masing dengan penuh kesungguhan.

Ingatlah, amat besar kemurkaan Allah bagi mereka yang hanya pandai berkata, tapi tidak mengota dan melaksana apa yang dikata.

“Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat?”
“Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan.”
(As Soff : 2- 3)

 
Leave a comment

Posted by on January 15, 2012 in Wacana, Ceramah, Penjelasan

 

Tags: , , , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: