RSS

Masuklah agama Islam secara keseluruhan

18 Mar

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah agama Islam secara keseluruhan; dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan memang  musuh kamu  yang nyata.
(Surah al Baqarah ayat 208) 

Kehidupan yang rencam di samping pergaulan yang luas dengan manusia dari berbagai agama, budaya dan warna kulit telah menyebabkan terdapat umat Islam yang lemah keyakinan serta iltizam mereka kepada agama ini sehingga bertindak memusuhinya secara sedar atau tidak sedar. Walaupun wacana dan ungkapan lahir mereka menegaskan tentang keislaman mereka , malah mereka bersumpah untuk meyakinkan tentang keimanan mereka kepada orang Islam namun mereka disisi Allah tetap dianggap musuh . Inilah yang ditegaskan oleh ayat 204 dalam surah berkenaan.

Golongan ini apabila memegang tampuk kuasa mereka merosak asas-asas kehidupan beragama yang mantap sebelumnya dengan niat untuk melemahkan komitmen umat kepada Islam.Bahkan polisi dan arah pentadbiran yang merosak ini samapai merosakkan juga alam, tanaman dan persekitaran dalam jangka panjang. Ini digadai kerana tujuan mendapatkan keuntungan yang segera para kroni dan kaum kerabat.

Golongan berkenaan tidak boleh ditegur atau dinasihati. Mereka berterusan melakukan penyimpangan dan kezaliman. Tegur nasihat dihadapi dengan tindakan agresif menindas, meng”ISA”kan rakyat dan sebagainya. Mereka merasa serba betul dan pandai. Mereka tidak dapat dipulihkan lagi.”Hati mereka tertutup rapat kerana lumuran noda dan dosa perbuatan mereka”.

Bertentangan dengan golongan ini terdapat pula dalam masyarakat kumpulan yang bersedia berkorban untuk kepentingan agama dan masyarakat.Golongan ini perlu dibantu dan diperkasa demi kebaikan umat dan negara. Mereka adalah golongan yang istiqamah berpegang teguh dengan Islam yang bersifat menyeluruh.

(Surah al-Imran  ayat 103)

Berpegang teguhlah kalian dengan agama Allah. Jangan berpecah belah. Ingati nikmat Allah. Sebelum ini kalau bermusuhan namun Allah bibitkan rasa kasih dalam hati dan tautkan kemesraan sesama kamu sehingga kamu bersaudara. Sebelum ini kamu ditubir neraka tapi Allah selamatkan kamu daripadanya. Demikianlah penjelasan Allah kepada kamu tentang bukti kebenaran agamaNya , semoga kamu mendapat hidayah petunjuk.
(Surah al-Imran  ayat 103) 

Seruan berpegang teguh kepada agama yang padu ini adalah kerana mengelakkan terongkainya perasaan kasih sayang dan timbul krisis pertelingkahan sesama umat kerana penyimpangan dan keingkaran kepada ajaran agama ini. Sebab itu Allah mengingatkan tentang bencana hukuman dan bala Allah kepada para pendusta dan pengabai agama Allah dalam berbagai peringkat sejarah.

Allah mengingatkan dalam Surah al Baqarah ayat 209

Tapi jika kamu menyimpang, sesudah datang bukti-bukti  yang nyata kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana (untuk bertindak ke-atas kamu).

Ayat seterusnya menjelaskan :

Tidak ada yang para penyeleweng itu tunggu kecuali  datangnya azab  Allah bersama Malaikat kepada mereka dalam naungan awan, sedangkan nasib (malang) mereka sudahpun  Allah putuskan dengan tuntas. Memang segala urusan terpulang kepada Allah menentukannya.

Contoh nyata penyimpangan ini ialah kaum Bani Israel. Mereka telah mendapat rahmat kedudukan ,  kurnia yang sangat baik dan banyak daripada Allah . Tapi mereka tidak bersyukur. Malah mereka tukar sifat bersyukur yang sepatutnya dengan sifat kufur kepada rahmat Allah . Iaitu nikmat agama yang telah diturunkan oleh Allah kepada mereka. Mereka mengikut fahaman dan ajaran yang membawa mereka kepada kejahatan dan penentangan terhadap nilai, hukum dan undang-undang Allah. Justeru mereka digodam oleh Allah dengan bala bencana dan berbagai jenis wabak penyakit.

Segala bencana dan petaka didunia ini ada kaitannya dengan penderhakaan dan maksiat kepada Allah. Sebab itu manusia perlu segera bertaubat kepada Allah. Mereka mesti kembali ke hadhratNya demi mematuhi semua titah perintah yang tidak boleh diderhakai.

Allah menegaskan dalam ayat 79 Surah al Nisa’

Apa jua kebaikan yang kamu dapati maka itu adalah dari rahmat Allah. Sebaliknya apa jua keburukan yang menimpa kamu maka sumbernya adalah daripada diri kamu sendiri. Manakala engkau pula (wahai Muhammad) Kami lantik menjadi Rasul. Cukuplah Allah sebagai saksi (kerasulanmu).

Dalam ayat 62:

Bagaimana kalau sekiranya nanti mereka dilanda musibah, lantaran hasil tangan mereka sendiri.

Setelah menghuraikan contoh sejarah penyimpangan Bani Israel dan umat terdahulu serta sebab mereka berpecahbelah dan seterus menerima padah kecelakaan dalam ayat   212-213 Allah menegaskan tentang keperluan berjihad melawan kejahatan, kezaliman, penderhakaan kepada Allah serta kemungkaran. Umat mesti diajak turut serta  untuk mencegah kejahatan , keingkaran kepada perintah Allah . Mereka mesti diiangatkan bahawa mereka tidak mugkin masuk syurga tanpa usaha dan jihad melawan kejahatan dan kezaliman. Mereka mesti bersedia menanggung kegetiran hidup dan pedih perit perjuangan kerana Allah. Mereka wajar menggembeling tenaga dalam suatu atau berbagai pergerakkan yang menumpaskan kebatilan. Tanpa penggembelingan usaha ke arah itu mereka sukar untuk masuk syurga Allah S.W.T.

Allah berfirman dalam Surah al Baqarah ayat 214.

Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepada kamu ujian seperti yang dialami oleh orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digegarkan dengan berbagai cubaan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya tertanya-tanya : Bilakah akan datang pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir jua.

Kesimpulan yang dapat diraih dalam menyorot isi gugusan ayat 204 hingga 214 ialah:

1.Umat Islam wajib menerimapakai seluruh ajaran syariat Islam. Haram meninggalkannya atau memilih-milih sebahagian dan  menolak sebahagian yang lain. Penerimaaan secara “kaffah” dan “syumul”  ini suatu kemestian .

2. Orang yang menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah dan meninggalkan apa yang diwajibkan oleh Allah adalah para pengikut syaitan dalam hal itu.

3. Kita wajib mengandaikan hampir turunnya bala dan hukuman Allah apabila berleluasa kejahatan , maksiat dan dosa-dosa besar dalam masyarakat. Kita tidak boleh menjadi orang yang  lalai dan sentiasa merasa selamat tanpa bersungguh-sungguh berusaha mencegah maksiat dan kezaliman. Kita tidak boleh merasa selamat dari bala Allah kalau lalai bertindak.

4. Allah tetap akan berperanan di dunia dan di akhirat menangani permasalahan manusia . Allah akan menyelesaikan pertelingkahan mereka secara tuntas pada hari kiamat kelak.

5. Haram menunda dan melengah-lengahkan taubat dan menangguhkan kepulangan kepada jalan kebenaran setelah nyata dan jelas kebatilan faham kufur dan kebenaran jalan Islam.

 
Leave a comment

Posted by on March 18, 2012 in Tarbiyyah

 

Tags: , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: