RSS

Anti-Syiah

Prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah Berkaitan Para Sahabat Rasulullah s.a.w.

Ahlusunnah mencintai dan mendukung sahabat Rasul, ahlul bait, dan isteri-isteri Rasulullah s.a.w dan meyakini tiada sesiapa yang maksum kecuali Nabi Muhammad s.a.w. Termasuk pokok ahli sunnah waljamaah adalah menjaga keselamatan lisan dan hati dari tuduhan terhadap sahabat Rasulullah s.a.w. Para imam dan kalangan ahlusunnah sependapat menetapkan keadilan bagi para sahabat, sama ada dari kalangan generasi pertama mahupun generasi kemudian, sahabat besar mahupun sahabat kecil, dari kalangan merdeka mahupun hamba sahaya, tanpa mengira Arab mahupun Ajam, yang lama bersahabat dengan Nabi Muhammad s.a.w mahupun beberapa ketika, yang terlibat dalam fitnah mahupun yang mengelak darinya. Mereka juga menetapkan bahawa para sahabat itu harus dicintai dan diredhai oleh kaum muslimin, serta tidak boleh menyakiti atau mencela mereka sebagaimana hadis berikut :

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ

“Dari Abu Sa’id Al Khudri Radhiyallahu ‘ahnu, beliau berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda,”Janganlah kalian mencela sahabat-sahabatku. Seandainya salah seorang dari kalian berinfaq emas sebesar Uhud, tidak akan menyamai satu mud (infaq) salah seorang dari mereka dan tidak pula setengahnya.”

Hadis di atas diriwayatkan dari –

Imam Al Bukhari dalam Shahih-nya, kitab Al Manaqib, Bab Qauluhu Lau Itakhadztu Khalilan, no. 3397 dan lafaz ini adalah lafaz Al Bukhari.
Imam Muslim dalam Shahih-nya, kitab Fadhail Al Sahabat, Bab Tahrim Sabbi Ash Shahabat, no. 4610 dan 4611.
Imam At Tirmidzi dalam Sunan-nya, kitab Al Manaqib ‘An An Nabi, Bab Fiman Sabba Ashabi An Nabi, no. 3796.

Amr bin al-Ash  dan Muawiyah adalah di antara sahabat Nabi yang telah meriwayatkan beberapa hadis Baginda s.a.w. Justeru, tidak mungkin para ulama hadis seperti al-Bukhari dan Muslim serta lainnya akan menerima hadis dari mereka andai mereka ini adalah munafik. Barang perlu diingat, dalam kaedah menentukan kesahihan hadis, para ulama sangat memerhatikan sanad dan rantaian individu yang terdapat dalam sanad tersebut.

Amr bin al-Ash pernah diamanahkan oleh Rasulullah untuk menjadi panglima dalam perang Dzatus Salasil dan bersama-sama Baginda dalam peristiwa Futuh Mekah. Beliau juga antara individu yang diamanahkan oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq untuk memerangi golongan murtad manakala di zaman kekhalifahan Umar al-Khattab, beliau telah berjaya menakluki Baitulmaqdis (Palestin) dan Mesir, dan seterusnya dilantik sebagai Gabenor Mesir oleh Umar al-Khattab. Adalah mustahil Rasulullah s.a.w  akan melantik Amr sebagai panglima tentera Islam seandainya beliau seorang munafik, dan sesungguhnya tidak ada seorang pun kalangan munafik yang beserta Rasulullah s.a.w  ketika Futuh Mekah.

Muawiyah bin Abu Sufian merupakan di antara sahabat yang pernah didoakan oleh Nabi s.a.w. Beliau salah seorang penulis wahyu, panglima pasukan muslim dan seorang pejuang yang gagah berani. Rasulullah s.a.w sendiri pernah memujinya dan mendoakan Muawiyah, yang bermaksud “Ya ALLAH, jadikanlah dia orang yang mendapat petunjuk, dan tunjukilah orang lain melaluinya”.

Tidak hanya Rasulullah s.a.w, bahkan para sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin turut memujinya. Saidina Ali dan Muawiyah tidak pernah saling membenci antara satu sama lain. Dalam satu hadis riwayat Muslim sebagaimana tercatat dalam kitab al-Birr wa sl-Shilah, Ibn. Abbas r.a berkata “Sesungguhnya Muawiyah adalah penulis Rasulullah s.a.w sejak ia masuk Islam.”

Soalan saya, apakah Rasulullah akan memberikan satu tugas khas kepada Muawiyah seandainya beliau seorang munafik? Tuduhan munafik ke atas Muawiyah menandakan ketidakyakinan seseorang pada kemakbulan doa Nabi Muhammad s.a.w, menunjukkan bahawa orang itu tidak meyakini mukjizat Baginda dan keistimewaan Baginda di sisi ALLAH s.w.t.

Ingin saya tegaskan bahawa tidak ada seorang pun di kalangan ulama salaf mahupun khalaf yang melabelkan kedua-dua sahabat Rasulullah s.a.w itu sebagai munafik.Saidina Ali r.a pun tidak pernah menyatakan Muawiyah bin Abu Sufian dan Amr bin al-Ash sebagai golongan munafik.

Harus juga diketahui tentang keistimewaan para sahabat yang mampu berijtihad secara mutlak. Suatu kelebihan yang memang ada pada kalangan sahabat r.a  kerana mereka mendapat didikan secara langsung dari Rasulullah s.a.w.

Kini timbul pertanyaan : Siapakah yang membunuh Saidina Uthman ibn. Affan dan apakah yang sebenarnya berlaku dalam Majlis Tahkim?

Pembunuhan Saidina Uthman ibn Affan r.a.

Saidina Uthman al-Affan r.a dilahirkan 5 tahun selepas kelahiran Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Beliau seorang bangsawan Quraisy dari keturunan Bani Ummayah. Beliau juga adalah sepupu kepada Saidina Muawiyah bin Abu Sufian. Selepas kematian Khalifah Umar al-Khattab yang syahid dibunuh oleh seorang hamba majusi bernama Abu Lu’lu’ah, Saidina Uthman dibai’at sebagai khalifah umat Islam dan memimpin umat selama 12 tahun (23H-25H / 644M-656M).

Abdullah ibn Saba’ seorang Yahudi dari Yaman telah memeluk Islam pada penghujung zaman Saidina Uthman r.a dan menjelajah ke kota-kota Islam dalam percubaannya untuk menyesatkan umat Islam. Di sinilah bermulanya bibit-bibit kelahiran fahaman Syiah Saba-iah. Abdullah ibn Saba’ adalah orang yang mula-mula mencaci Abu Bakar, Umar dan Uthman serta menyatakan wajib bagi Ali r.a menjadi Imam.

Pada akhir tahun 34H, pemerintahan Islam dilanda fitnah. Fitnah yang keji datangnya dari Mesir berupa tuduhan-tuduhan palsu yang dibawa oleh orang-orang yang datang hendak menunaikan umrah pada bulan Rejab.

Saidina Ali bin Abi Talib r.a telah membela Saidina Uthman dan menyangkal tuduhan mereka. Saidina Ali menanyakan keluhan dan tuduhan mereka, yang segera dijawab oleh mereka, “Uthman telah membakar mushaf-mushaf, shalat tidak diqasar sewaktu di Makkah, mengkhususkan sumber air untuk kepentingan dirinya sendiri dan mengangkat pejabat dari kalangan generasi muda. la juga mengutamakan segala fasilitas untuk Bani Umayyah (golongannya) melebihi orang lain.”

Pada hari Jumaat, Saidina Uthman berkhutbah dan mengangkat tangannya seraya berkata, “Ya Allah, aku beristighfar dan bertaubat kepadaMu. Aku bertaubat atas perbuatanku. ”

Saidina Ali r.a menjawab, “Mushaf-mushaf yang dibakar ialah yang mengandungi perselisihan dan yang ada sekarang ini adalah yang disepakati bersama kesahihannya. Adapun solat yang tidak diqasar sewaktu di Makkah, adalah kerana dia berkeluarga di Makkah dan dia berniat untuk tinggal di sana. Oleh kerana itu solatnya tidak diqasar. Adapun sumber air yang dikhususkan itu adalah untuk ternak sedekah sehingga besar, bukan untuk ternak unta dan domba miliknya sendiri. Umar juga pernah melakukannya sebelum ini. Adapun mengangkat pejabat dari generasi muda, hal ini dilakukan semata-mata kerana mereka mempunyai kemampuan dalam bidang-bidang tersebut. Rasulullah SAW juga pernah melakukan hal yang demikian. Adapun beliau mengutamakan kaumnya, Bani Umayyah, kerana Rasulullah sendiri mendahulukan kaum Quraish daripada bani lainnya. Demi Allah seandainya kunci syurga ada di tanganku, aku akan memasukkan Bani Umayyah ke syurga.”

Mendengar penjelasan Ali ra, umat Islam pulang dengan rasa puas. Tetapi para peniup fitnah terus melancarkan fitnah dan di antara mereka ada yang menyebarkan tulisan dengan tanda tangan palsu, kononnya dari sahabat terkemuka yang menjelek-jelekkan Uthman.

Dek termakan fitnah, para pemberontak kemudian telah mengepung rumah Saidina Uthman selama sebulan. Pada tanggal 8 Zulhijjah tahun 35 Hijriah, Uthman menghembuskan nafas terakhirnya sambil memeluk al-Quran yang dibacanya. Ketua pemberontak bernama Al-Ghiffaki telah memukul Saidina Uthman dan  diiringi pula oleh tetakan dengan pedang daripada salah seorang pemberontak yang lain. Dari peristiwa ini, bermula satu situasi yang dikenali sebagai Fitnah al-Kubra.

Majlis Tahkim.

Amat perlu dijelaskan bahawa,Saidina Ali r.a dan Muawiyah r.a sentiasa inginkan perdamaian. Saidina Muawiyah tidak menentang kekhalifahan Ali. Hal ini dapat dilihat ketika Saidina Ali menghantar utusan untuk berunding kemungkinan dapat diadakan perdamaian (semasa di Shiffin, sebelum berlaku pertempuran). Utusan Saidina Ali menyeru Muawiyah untuk membaiat Ali sebagai khalifah. Muawiyah menolak dan meminta agar Ali menyerahkan orang-orang yang membunuh Saidina Uthman atau pimpinan pemberontak untuk menerima hukuman yang setimpal. Jika Ali memenuhi permintaannya, Muawiyah bersumpah akan berbaiat kepadanya.

Terdapat riwayat yang menyebut bahawa sekelompok orang pernah bertanya kepada Muawiyah “Apakah kau memerangi Ali kerana merasa sebanding dengannya?”Muawiyah menjawab “Demi ALLAH, aku tahu bahawa ia lebih baik dariku, lebih utama dan lebih berhak atas khilafah. Tetapi bukankah kalian tahu bahawa Uthman terbunuh secara zalim dan aku adalah anak bapa saudaranya dan aku menuntut darahnya dan urusan yang ditinggalkannya? Oleh itu, sampaikanlah kepada Ali : serahkan para pembunuh Uthman kepada ku dan aku akan menyerahkan urusan ini kepadanya.”

Berkaitan Majlis Tahkim, beberapa sejarawan menuturkan bahawa Amr bin al-Ash menipu dan memperdaya Abu Musa Asy’ari dalam perundingan itu. Mereka menyatakan episod tahkim bagai satu sandiwara palsu. Mereka telah berdalil dengan sebuah riwayat al-Thabari dari Abu Mukhnif. Abu Mukhnif seorang yang tidak diterima periwayatannya. Riwayat tersebut menjadi rujukan dan pegangan kaum Syiah Rafadiyah dan para orientalis. Riwayat ini tertolak baik dari sisi sanad mahupun matan. Abu Mukhnif adalah perawi yang tertolak dan tidak dipercayai kerana ia banyak membuat riwayat palsu. Semua riwayat dari Abu Mukhnif atau Abu al-Jannab al-Kalbi adalah bohong. Lebih-lebih lagi ia berasal dari kalangan Rafidiyah. Oleh itu riwayat berkenaan adalah tertolak dan batil dari sisi sanad. (Dr. Musthafa Murad; ‘Kisah Hidup Ali ibn Thalib’; Synergy Media; tanpa tarikh;hal. 147-153. Beliau merujuk kepada Tarikh al-Thabari, jld.4 dan Thabaqat Ibn. Saad, jld.4)

Al-Qadhi ibn al-Arabi mengatakan bahawa riwayat yang sahih adalah yang diriwayatkan oleh imam seperti Khalifah ibn Khiyath dan al-Daruquthni yang merujuk kepada Hadhin ibn al-Mundzir.

Diriwayatkan bahawa ketika Amr bin al-Ash melantikkan Muawiyah, Hadhin ibn al-Mundzir mendatangi Amr untuk menanyakan peristiwa tahkim yang berlangsung antara kedua-duanya. Muawiyah yang mendengar bahawa Hadhin telah menemui Amr, segera mengutuskan seseorang kepada Hadhin yang khemahnya berada dekat Muawiyah. Utusan itu berkata kepada Hadhin, “Aku mendengar daripada Amr bin al-Ash mengenai itu dan ini, jadi sampaikanlah kepadaku pendapatmu tentang apa yang kau dengar darinya.”

Hadhin ibn al-Mundzir menuturkan bahawa ia mendatangi Amr dan bertanya kepadanya “Khabarkanlah kepadaku tentang perkara yang diamanatkan kepadamu dan perundingan yang kau lakukan bersama Abu Musa!”

Amr ibn al-Ash berkata, “aku sendiri mendengar orang-orang bertutur tentang apa yang terjadi. Urusan yang dikatakan tidak seperti yang dikatakan oleh orang-orang. Cerita yang sesungguhnya adalah seperti berikut : aku berkata kepada Abu Musa, “Bagaimana pendapatmu mengenai perkara ini?”

Abu Musa berkata “Menurutku, urusan ini menyangkut orang-orang yang ketika Rasulullah s.a.w wafat, Baginda meredhai mereka dan mereka juga meredhai Baginda.”

Aku bertanya lagi “Jadi bagaimana pendapatmu mengenai diriku dan Muawiyah?” Abu Musa berkata “Jika Ali meminta bantuan dari kalian berdua, kalian dapat membantunya. Tetapi jika ia merasa cukup dari kalian berdua, sesungguhnya ALLAH Maha Kaya dari kalian berdua.””

Riwayat Daruqutni di atas didukung oleh al-Thabari mengenai tahkim bahawa al-Zuhri mengatakan bahawa ketika kedua pemimpin itu bertemu, Amr bin al-Ash berkata“Wahai Abu Musa, hal pertama yang mesti kau lakukan untuk merungkai perkara ini dan mewujudkan kedamaian adalah bahawa kau harus menjalankan kebenaran kepada orang-orang yang setia dan memenuhi janji dan menghukum orang yang lalai atas kelalaian mereka.” Abu Musa berkata “Apa maksudmu?”

“Bukankah kau mengetahui bahawa Muawiyah dan penduduk Syria (Sham) telah memenuhi janji dan datang di tempat yang dijanjikan, tepat sesuai dengan keinginan kita?”

“Benar.”

“Tulislah.” Abu Musa menuliskannya.

Amr melanjutkan, “Wahai Abu Musa, apakah kau ada sebuah nama yang menurutmu layak memimpin umat ini? Jika ada sebutkanlah. Jika mungkin, aku akan mengikuti pilihanmu. Jika tidak, kau tidak mesti mengikuti pendapatku.”

Abu Musa berkata “Aku punyai satu nama iaitu Abdullah bin Umar. Selama ini ia tidak pernah melibatkan diri dalam konflik.” Amr berkata “Aku memilih Muawiyah bin Abu Sufian”

Kedua-duanya meninggalkan majlis dan tidak pernah sampai kepada persepakatan akhir. Mereka keluar menemui orang-orang yang berkumpul.

Riwayat ini menunjukkan bahawa Amr tidak menipu Abu Musa al-Asy’ari kerana tidak berkesempatan untuk menyampaikan pandangannya. Kedua-dua Amr dan Abu Musa tidak bersepakat mengenai siapa yang paling layak memimpin umat yang sedang berada dalam kancah fitnah. Mereka tidak pernah bermaksud menetapkan Muawiyah sebagai khalifah. Amr ibn al-Ash bersedia membantu Muawiyah dengan syarat : jika umat bersepakat maka kedua-duanya telah menetapi suatu perkara yang baik. Muawiyah tidak menghendaki Khalifah, tetapi ia menginginkan hukuman ke atas para pembunuh Uthman. (Dr. Musthafa Murad; ‘Kisah Hidup Ali ibn Thalib’; Synergy Media; tanpa tarikh;hal. 153-157. Beliau merujuk kepada Tarikh al-Thabari, jld.5, hal.41-42)

Selepas peristiwa Tahkim, Saidina Ali dan para pengikutnya kembali ke Kufah. Di pertengahan jalan, golongan Khawarij telah memisahkan diri dari mereka. Riwayat mencatatkan jumlah golongan Khawarij ini seramai 12,000 orang dan ada yang menyebutkan seramai 16,000 orang. Sejumlah 8,000 orang dari mereka adalah qari. Kemudian Saidina Ali telah meminta Ibn Abbas menemui mereka dan hasilnya 4,000 orang telah bertaubat.

Khawarij jugalah yang telah merancang pembunuhan Saidina Ali. Beliau kembali ke rahmatullah pada 21 Ramadhan selepas menjadi khalifah selama 4 tahun 9 bulan dan 6 hari. Sesetengah riwayat menyatakan 14 hari dan ada juga yang mengatakan 3 hari.

Ketika Khawarij keluar dari jemaah Islam dan fitnah bermaharajalela, maka kaum muslimin beriltizam untuk memelihara jemaah dan menjauhkan diri dari perpecahan.Ikrar kesepakatan kaum muslimin tercetus pada tahun 41H, ketika mereka mengangkat Muawiyah menjadi khalifah setelah Saidina Hasan mengundur diri. Tahun tersebut dikenali sebagai Tahun Jemaah.

Bagaimana bermulanya penghinaan ke atas Sahabat r.a.?

Abdullah ibn Saba’ seorang Yahudi dari Yaman dan pengasas golongan Syiah Saba’iyah dan merupakan seorang Syiah Pelampau. Dia telah memeluk Islam pada penghujung zaman Saidina Uthman r.a dan menjelajah ke kota-kota Islam dalam percubaannya untuk menyesatkan umat Islam. Bibit-bibit kelahiran fahaman Syiah dan asal usul prinsipnya lahir pada tangan puak-puak Syiah Saba-iah melalui pengakuan buku-buku muktabar Syiah sendiri yang mengatakan bahawa Abdullah ibn Saba’ adalah orang yang pertama menzahirkan cacian ke atas Abu Bakar, Umar dan Uthman  r.a. Ibnu Saba’ juga adalah orang yang mula-mula melahirkan caci cela terhadap para sahabat, menyatakan wajib bagi Ali r.a menjadi imam; dan Ali adalah orang yang diwasiatkan oleh Nabi s.a.w untuk menjadi imam. Ini merupakan asas tasyayyu’ seperti yang dipegang oleh tokoh-tokoh Syiah.(‘Membendung Pengaruh Syiah di Malaysia’; Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Malaysia; 2011; hal. 1-2) 

Golongan Syiah ini mempercayai bahawa selepas wafat Rasulullah s.a.w semua sahabat murtad kecuali Ahlul-Bait dan beberapa orang sahabat termasuk Abu Dzar, Miqdad bin Aswad, Salman al-Farisi dan Ammar. Perkara ini disebutkan dalam kitabBihar al-Anwar oleh al-Majlisi juz. 27, hal. 64-66 :

Terjemahannya; Kebanyakan para sahabat adalah munafik, tetapi cahaya nifaq mereka tersembunyi di zaman mereka. Tetapi apabila wafat Nabi s.a.w ternyatalah cahaya nifaq mereka itu melalui wasiat nabi dan mereka itu kembali secara mengundur ke belakang, dan kerana ini Saidina Ali berkata; “Semua manusia murtad selepas kewafatan Nabi s.a.w kecuali empat orang sahaja iaitu Sulaiman, Abu Dzar, Miqdad dan Ammar, dan perkara ini tidak ada masalah lagi”(Mohd Aizam bin Mas’od; ‘Diskusi Isu Aqidah Dan Pemikiran Semasa Di Malaysia’; 2010; hal.63)

Golongan Syiah juga mengatakan bahawa Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Muawiyah sebagai 4 berhala Quraisy. Demikian juga dengan Khawarij yang turut menghina serta mengkafirkan para sahabat r.a.

Kesimpulan dan Nasihat.

Berdasarkan catatan ini, kita dapat melihat bahawa ahli sunnah wal jamaah tidak pernah mengatakan atau menuduh mana-mana sahabat Nabi s.a.w sebagai munafik atau sebagainya. Tuduhan serta fitnah tersebut telah dilemparkan oleh golongan yang telah menentang ahlusunnah. Ketahuilah bahawa kedua-dua firqah sesat iaitu Syiah dan Khawarij ini turut diperangi oleh Saidina Ali, para sahabat r.a, tabi’in dan tabi’ tabi’in.

Sikap mereka jelas bertentangan dengan akhlak yang ditunjukkan oleh Saidina Ali sendiri, kerana Ali tidak pernah membenci Muawiyah mahupun para pengikut dan sahabat-sahabatnya. Berhubung Perang Shiffin, Saidina Ali pernah berkata “Orang yang terbunuh dari pihakku dan pihak Muawiyah berada dalam syurga.”(diriwayatkan dari al-Thabrani dan perawinya tsiqah).

Ketika mendengar khabar wafatnya Ali ibn Abi Talib, Muawiyah menangis tersedu-sedu. Lalu isterinya berkata “Mengapa engkau menangisi pemergiannya sedangkan selama ini engkau memeranginya?” Muawiyah menjawab “Sungguh kau tidak mengetahui bahawa seiring dengan pemergiannya, manusia kehilangan kemulian, pemahaman dan pengetahuan.” (Fadha’il al-Shahabah, jilid 2,hal.737 dengan sanad yang sahih sebagaimana dikatakan oleh pentafsirnya).

Jelaslah bahawa tindakan moderator blog (yang saya nyatakan di awal artikel)melabelkan Muawiyah bin Abu Sufian dan Amr bin al-Ash sebagai munafik adalah suatu fitnah ke atas sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Statementbeliau bahawa beliau merujuk kepada sumber sunni adalah suatu yang amat meragukan. Andai benarlah ianya datang dari pembelajaran beliau dan bersumber dari ulama ahli sunnah wal jamaah, maka perlulah beliau menunjukkan buktinya, siapakah guru yang mengajar beliau itu, siapa pula ulama sunni yang dimaksudkan dan apakah kitabnya.

Imam at-Tirmizi meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn. Mughaffal r.a, katanya : Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya) :

“Hendaklah yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir. Takutlah kepada ALLAH, takutlah kepada ALLAH mengenai sahabat-sahabatku.Janganlah kamu menjadikan mereka sasaran sepeninggalanku nanti.Barangsiapa mencintai mereka, kerana mencintai aku, maka aku mencintai mereka. Barangsiapa membenci mereka kerana membenci aku, maka aku membenci mereka. Barangsiapa menyakiti mereka, dia menyakitiku; barangsiapa menyakitiku, dia menyakiti ALLAH. Barangsiapa menyakiti ALLAH, dia akan mendapat hukuman ALLAH. Dan barangsiapa dihukum ALLAH, dia tak akan terlepas.“

Ingin sekali saya nasihatkan kepada para pembaca, penulis-penulis blog,majalah, artikel, buku dan sebagainya untuk bersikap cermat dalam penulisan. Jangan sekali-kali menulis dan membuat kesimpulan sendiri tentang sesuatu perkara berhubung agama lantas mendakwa ianya dari ahli sunnah wal jamaah walhal tidak pernah pun membuat rujukan dari mana-mana kitab muktabar dan kepada mereka yang alim dalam perkara tersebut. Ramai di antara kita yang mengaku ahlusunnah, namun tidak pernah mengetahui pegangan ahli sunnah wal jamaah, iktikad dan prinsip-prinsipnya. Hal sedemikian adalah amat memalukan!

Saya mungkin tidak sealim kalian di luar sana. Adapun diri ini hanya seorang yang sentiasa mahu mempertahankan ahli sunnah wal jamaah dari pelbagai fitnah, tomahan dan serangan pemikiran yang kian berleluasa. Apa yang dilakukan, sekadar bertujuan membantu menzahirkan kebenaran disamping membersihkan nama para sahabat r.a dari tuduhan-tuduhan palsu. Sabda Nabi Muhammad s.a.w dalam satu hadisnya yang diriwayatkan Khatib al-Baghdadi yang bermaksud :

“Apabila timbul fitnah, atau bidaah dan sahabat-sahabatku dimaki, maka orang berilmu hendaklah menzahirkan ilmunya, sesiapa yang tidak melakukan demikian, maka ke atasnya laknat ALLAH, malaikat dan manusia seluruhnya. ALLAH tidak akan terima daripadanya amalan fardhu mahupun sunah.”

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: